Pages

Monday, March 19, 2012

Pelajari ilmu secara 'tafaqquh'


Terigat kata-kata seorang ustaz dalam program yang diadakan oleh persatuan pelajar disini beberapa hari yang lalu :
العلم بالتعلم والفقه بالتفقه
Hari ini baca kata-kata tuan guru pula. Jom kita baca dan fahami.


KUALA LUMPUR, 18 Mac: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan umat Islam perlu mempelajari ilmu secara 'tafaqquh' iaitu belajar dan mendalami Islam sebaik-baiknya.

"Kita bukan sahaja mengajar atau mengaji tetapi faham Islam itu sebenar-benarnya,"katanya dalam ucaptama majlis Istiadat Konvokesyen Intitut Latihan Kepimpinan Dan Perkaderan Dakwah Islamiyyah (Ilham) kali ke-11.

Ini kerana, katanya, umat Islam dituntut memberi peringatan kepada semua supaya mereka berwaspada terhadap ajaran-ajaran sesat, termasuk dalam konsep cara hidup.

"Mempelajari Islam bukan untuk diri sendiri sekadar tahu sahaja, tetapi untuk disampaikan kepada segenap umat kerana ia sudah menjadi tanggungjawab menyampaikan ilmu," katanya.

Malah tegasnya, Allah memilih manusia bertugas di atas muka bumi ini kerana manusia mempunyai fitrah dan naluri untuk menjadi khalifah.

Bagaimanapun katanya, kejahilan umat Islam hari ini hanya menangani dua pendekatan yang menjadi pemandu umat manusia iaitu agama dan ideologi yang berkait cara hidup, politik, ekonomi dan sosial.

"Mereka lupa 'di sana' ada petunjuk Allah yang dinamakan Ad Din yang dibawa oleh Nabi dan Rasul. Bermula Adam a.s ditutup dengan Muhammad SAW," katanya.

Berucap di depan 146 graduan Ilham, Abdul Hadi berkata, pendidikan dan pentarbiyahan merupakan medium penting untuk melahirkan generasi pendakwah yang bergerak di atas landasan ilmu dan sensitif dengan persekitaran.

Justeru katanya, setiap ahli lebih-lebih lagi pimpinan mesti meletakkan aspek tarbiyah sebagai asas utama dalam apa situasi dan tempat kerana tarbiyah adalah sebahagian daripada tunjang kekuatan jamaah.

"Diharap graduan Ilham mampu menjadi pendokong dan petugas gerakan Islam yang sanggup menghadapi tribulasi perjuangan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat Idris Ahmad mencadangkan semua peringkat perlu memastikan ahli-ahli kawasan mereka diwajibkan menyertai program Ilham.

"Seboleh-bolehnya biarlah setiap tahun sekurang-kurangnya dua orang setiap kawasan ditaja oleh PAS kawasan terutama mereka yang tidak sempat mempelajari Islam secara formal," katanya.

Pengarah Ilham Pusat Dr Asiah Ali berkata, tarbiyah adalah nadi kepada PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang bukan terhad kepada usrah, tamrin, seminar dan pengisian ilmu sahaja.

Bahkan katanya ketika memberi ucapan, tarbiyah perlu untuk melahirkan pendokong gerakan Islam PAS yang mampu menjadi 'role model' kepada masyarakat.


Juga boleh didengar disini :



No comments: