Pages

Thursday, January 19, 2012

Praktikkan Husnu dzon

BismikAllah aktub!

"...BOLEH JADI APA YANG KAMU SUKAI ITU MENDATANGKAN MUDHARAT BAGI KAMU.. DAN BOLEH JADI APA YANG KAMU TIDAK SUKAI ITU MENDATANGKAN KEBAIKAN BUAT KAMU.."
[ 2 : 216 ]

Ingatlah! Sedarlah! dan yakinlah! yang sesungguhnya Allah Lebih Tahu apa yang terbaik untuk kamu.

"Siapa yang boleh istiqamah dengan ugama ini, terutama bila ugama menjadi cabaran?"
"Nabi s.a.w datang dalam keadaan yang lebih susah, dalam keadaan agama tidak diterima"


"Ujian semua orang ada. Ujian itu bukan berat kerana dia ujian, tapi ia berat dengan kadar kemampuan seseorang menanggungnya."

Apabila orang berjiwa besar macam para nabi dan sahabat.
Ujian yang besar menjadi kerdil dihadapan Allah.

Sahabat,,
Bukankah ujian Allah itu untuk menguatkan kita?

Robb,, kuatkan kami di atas jalan yang kami pilih. 
Aturkanlah kehidupan kami, ya Allah..

Allahhumma Ameen..






"Ini bukan ugama HAFAL, tapi ini ugama FAHAM."


Kata Jabir bin Abdullah: Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran, sabdanya: "Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini:





"Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan..) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya da seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (sebutkan..) mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya".

(sebutkan urusan yang dimaksudkan di tempat yang bertitik).


Wallahhu 'alam.

Siiru 'ala barakatillah.

Friday, January 13, 2012

Optimis dengan kehidupan

BismikAllah aktub!

Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

SubhanAllah pagi yang sungguh indah!
Jumaat yang indah bersama cuaca yang sangat indah. Angin yang bertiup lembut. =)

Alhamdulillah..Alhamdulillah...Alhamdulillah...
Nikmat yang tak putus-putus Dia beri.
Alhamdulillah nikmat nyawa dan nafas dengan denyutan nadi yang masih dikurniakan Allah.
Paling penting nikmat yang satu ini Iman dan Islam.
Juga tak lupa nikmat masa dan kesempatan.

Moga tak lalai dengan segala nikmatNYA,
Dengan nikmat inilah kita hidup untuk terus memberi dan mengingatiNya.
Allahhuakbar!

Bangun dari lena yang panjang. Bangun dari tidur yang mengasyikkan!
Jangan selalu manjakan diri. Terlalu asyik dengan nikmat dunia hingga lupa siapa diri kita. 

Selalulah bermuhasabah dengan 3 persoalan asas ini :
Dari mana kita datang? 
Untuk apa kita diciptakan? 
Kemana kita akan dikembalikan?

Nampak macam terlalu simple kan persoalan di atas ni? Nak menjawab tak perlu fikir panjang. Tak mengambil masa yang lama pun. Tapi jawapan ini jugalah yang selalu kita lupa. Lupa dengan sebab kita ingat dunia ini kita yang punya. Lupa dengan sebab kita ingat segala yang kita lakukan adalah dengan penat lelah kita. Lupakah kita pada yang diatas sana? Lupakah kita pada yang memiliki segalaNya? Yang Lebih Berkuasa?

Persoalan demi persoalan. saya kira sudah cukup untuk kita nilai dimana kita berada sekarang. Berpijaklah dibumi yang nyata. Nun disana, negeri abadi yang kita akan hidup lebih lama. Tinggal bersama amalan yang dituai disini. Mungkihkah hasilnya juga cantik dan indah?

Wahai diri, duhai sahabat,
Ingatlah, bukan gembira disini yang kita tagih. Bukan senang disini yang kita damba. Tapi di negeri sana yang kekal abadi selamanya. Biar susah sedikit untuk hasil yang imtiyaz disana.

Bukan amalan kita yang sedikit ini (yang kadang dirasakan sudah terlalu banyak) yang menyebabkan kita dimasukkan kesyurgaNya, tapi dengan sebab rahmatNyalah kita ke akan ditempatkan ditempat yang sungguh indah itu. Jangan bermimpi untuk menginap di sana dengan senang lenang, jika tanpa rahmat Allah. 

Usahalah bersungguh-sungguh untuk mengejar redhaNya. Untuk menagih kasih Allah. Kutiplah segala yang Dia taburkan untuk kita tanam dengan iman dan bajai dengan keikhlasan agar hasilnya nanti sungguh indah.

Wahai diri, Duhai teman,
Sebagai KHALIFAH Allah, sungguh amanah yang kita pikul adalah sangat berat. Jika kita tahu bilakah tarikh tamat tempoh kita, sudah tentu kita akan lebih berseronok diawal-awalnya, kerana waktu itu mungkin masih panjang. Tetapi sebaliknya tarikh tamat tempoh itu bukan seperti tarikh peperiksaan kita di dunia ini. Yang ada penetapan waktu. Yang sudah dikhabarkan dari awal untuk segala persediaan. Bilakah masanya kita tak dapat mengagak, kita tak dapat menjangka. Oleh itu buatlah persediaan dari awal. Buatlah persiapan dari awal.

Andai manusia itu SEDAR betapa besarnya taklifan dan tanggungjawab sebagai HAMBA serta betapa beratnya istilah "AMANAH" itu, nescaya dia tak akan lalui hidupnya dengan sia-sia dan pasti juga setiap detik itu akan dimanfaatkan sehabis baik, dan yang paling penting dia tidak akan membiarkan kerja-kerja yang diamanahkan tertangguh atau dibuat dengan biasa-biasa sahaja (bukan atas dasar tanggungjawab dari al Khaliq) tetapi dengan bersungguh-sungguh.

Seorang hamba perlu sedar yang Allah menciptakan manusia untuk beribadah kepadaNya. Ini jelas melalui bicaranya kepada kita : "Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu " [ 51 : 56 ]

 "Dan ingatlah ketika Allah berkata kepada para malaikat : Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang KHALIFAH didunia ini"  [ 2 : 30 ]

Mudah-mudahan kita dijauhkan seperti ayat-ayat Allah di bawah ini :

"Dan sungguh, akan Kami isi neraka Jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang orang yang lengah." [ 7 : 179 ]

Sama-sama kita fikirkan.
Ketuk pintu hati, tanya iman.
Tanya akal, adakah selalu berfikir?




"Dan jika mereka bermaksud hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindungmu) . Dialah yang memperkuatmu dengan pertolonganNya dan dengan para mukmin" [ 8 :62 ]


Bicara Allah ini sungguh menyentuh hati. Ingatlah disaat gembira atau sedihnya atau lemahnya kita, disaat manusia melemahkan kita, disaat tak ada siapa lagi yang kita rasakan dapat membantu, disaat fitnah itu menjalar bagaikan air yang melaju, ingatlah bahawasanya Allah itu sentiasa ada disisimu. Allah tak pernah menyisihkan hambaNya.

Dah lama tak menulis, otak jadi kering. Mahu menyambung tetapi ada kerja yang menanti. Persediaan untuk membantu mereka yang memerlukan. Memberi dengan seikhlas hati. Entah membantu atau tidak. Cuba untuk positif dengan diri sendiri. Mudah-mudahan memberi manfaat.
Optimis dengan kehidupan.

Saya akhiri penulisan pagi ini dengan nasyid di atas kepada jundullah. =)

Selamat bekerja! Selamat beramal!
Jaga hati, jaga iman, jaga amal, jaga akhlak, jaga diri. ;)


Jangan lupa tajdid niat deh!
Jangan lupa baca kahfi!
Jangan lupa amalan-amalan sunat hari ini.
Moga hidup diberkati Allah.


Siiru 'ala barakatillah.

Tuesday, January 10, 2012

Mencari Kasih Tuhan

BismikAllah aktub!


Disebalik tirai itu,
aku mencari diri.

Dihujung penjuru itu, 
dudukku berteleku.

bertanya Robb,
akan lemahnya hati,
kecilnya jiwa,

Dihujung penjuru itu,
aku mencari diri,
kemana ia pergi?

Nun jauh disana,
betapa sombongnya manusia
betapa ralitnya dengan dunia.

Nun jauh disana,
aku nampak diri itu,
adakah ia sekadar lakonan?

lakonan yang melemahkan,
lakonan yang melekakan.

Robb,
sampai bila kuharus begini?
asyik kembali kepada jahiliyyah.

Pergilah jiwa kecil,
yang selalu merobek jiwa.
melemahkan hati.
melumpuhkan kaki.

Datanglah jiwa besar,
yang selalu bermujahadah.
yang tak pernah kenal putus asa.
yang selalu bersyukur dgn pemberianNya.

Ya Robb,
berikan aku kekuatan itu.
kurniakan aku ketenangan itu.

ya Robb..
pelihara diri dari bermaksiat kepadaMu
pelihara diri dari kelalaian nikmat dunia.

Jauhkan aku ya robb...
Jangan biarkan aku terus dengan kelekaan ini.
Jangan biarkan aku tersasar arah.

Di saat kaki melorong,
Luruskan langkahku ya Allah.
Teguhkan imanku.

Allahhumma Ameen

~Insan kerdil mencari Tuhan~

Monday, January 9, 2012

Keazaman dalam menuntut ilmu

BismikAllah aktub!

Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Assalamu'alaikum wbth.

Sobahul ward! Ketuk-ketuk pintu hati, tanya hati dan iman, adakah mereka sihat?

Moga hari-hari yang dilalui dan bakal dilalui mendapat berkat dan beroleh rahmat. HasbunAllahhu wa ni'mal wakeel.

Meniti hari-hari terakhir final exam. Melangkah ke tahun akhir di sini. Pantas sungguh masa itu berlalu. Bagai baru semalam menjejakkan kaki ke sini.

Saat-saat akhir ini selalu terfikir sesuatu. Oh! diri semakin ketandusan ilmu. Adakah kerana ilmu itu tidak berkat? Mohon dijauhkan ya Allah.

Cuba merancang sesuatu untuk selepas ini. terpaut dengan video dibawah ini, moga beroleh manfaat :




Belajar dengan penuh keazaman dan kesungguhan, subhanAllah!

Bersungguh-sungguh dalam mencari ilmu itu lebih penting dari duduk menunggu disuap sahaja.

Ilmu itu bukan dengan sebab dimana kita belajar, tapi sejauh mana kesungguhan kita.

Ilmu itu bukan dengan sebab berapa banyak subjek yang kita ambil, tapi sejauh mana kefahaman kita terhadap ilmu itu.

Ilmu itu bukan sekadar menghadirkan diri kekelas, menadah telinga, menghafal, memahami, mengingat, menjawab peperiksaan dunia dan sebagainya, tetapi ilmu itu perlu disertai dengan adab-adabnya agar keberkatan ilmu itu tidak hilang bersama hilangnya ilmu yang kita belajar.

Ilmu itu bukan sekadar teori yang perlu dihafal tetapi sejauh mana aplikasinya pada kehidupan kita.

Sambil menulis, sambil mengingatkan diri yang selalu lupa, yang sering lalai. Moga pintu hati ini sentiasa diketuk. Pintu iman tidak diabaikan.

Introspeksi iman perlu dilazimi setiap saat. Refresh niat sentiasa agar segala yang dilakukan hanya untuk Allah. ^^,

Jumpa lagi. Moga setiap hari ada perubahan walau sedikit.

Moga redha Allah mengiringi setiap derap langkah.

Siiru 'ala barakatillah.

wassalam.

Sunday, January 8, 2012

Konflik kehidupan.

BismikAllah aktub!

Saya berkira-kira mahu berkongsi sesuatu dengan sahabat-sahabat saya, tapi pagi ini seolah-olah tidak mengizinkan saya untuk berbuat begitu. Tangan kaku untuk menulis. Mungkin kerana hasrat yang satu itu belum tercapai ^_~.

Sebentar tadi baru 'chat' dengan kakak menyatakan hasrat yang satu itu. Sebenarnya, tak ada masalah pun untuk mereka tunaikan hasrat itu. Cuma diri saya sendiri yang agak berat. Jadi pertanyaan yang agak 'serius' pada mulanya hanya dianggap satu mimpi.

Bukan tidak mahu diteruskan hasrat itu, tapi mungkin kerana memikirkan beberapa perkara yang belum selesai. Allahhu robbi. Permudahkanlah hambaMu ini. Jika ada rezeki, dan tiada apa-apa yang menghalang, enshaAllah.

Oh! keliru dengan keputusan yang bakal dibuat. Risau menyusahkan yang disekeliling. Selalu terfikir yang diri saya ini membantu atau membantut?

Isu pemecatan Hasan Ali, kita jangan cepat gelabah.

Seerah menceritakan Saidina Khalid Al-Walid R.A. juga pernah dipecat oleh Saidina Umar Al-Khattab R.A,pernah menjawat jawatan panglima perang Nabi s.a.w. sebalik nye beliau terus berjuang seolah-solah beliau adalah panglima bagi mengekal terus perpaduan tentera islam.

Manakala dalam sejarah Ikhwanul Muslimin juga ada kes pemecatan pimpinannya, Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradhawi, Syeikh Muhd Al Ghazali, Syeikh Syed Sabiq dan lain-lain pernah diambil tindakan oleh Ikhwan. Namun mereka menunjukkan keikhlasan dan kekal bersama pjuangan Islam hingga penghujung usia. Ketika Syeikh Muhd Al Ghazali dipecat, Syeikh Hasan Al- Hudhaibi (Mursyidul 'Am Ikhawanul Muslimin pada ketika itu) berkata,

"Kami memecat beliau bkn sebagai menafikan ilmu dan tawadhu'nya. Tetapi kepentingan menjaga disiplin dalam kerja jamaah adalah diutamakan."

Dikongsikan bagi yang sedang mencari-cari jawapan untuk pergolakan yang berlaku. Sebenarnya bukan pergolakan pun, biasalah ujian dalam perjuangan.

Tambah kefahaman dan keyakinan. Menenangkan minda yang sering meneka-neka dan berkata-kata begitu dan begini. Belajarlah untuk sentiasa berlapang dada dengan keputusan yang telah di syurokan.

http://www.scribd.com/doc/10726491/konflik-dalaman

Teringat kata-kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz :

Saya berpesan kepada semua pimpinan masyarakat umat Islam, jagalah tiga perkara ini... pertama, jangan merokok. Kedua, solat berjemaah, lazimilah ia di masjid maupun madrasah.. dan ketiga, jika ada pertemuan dengan masyarakat seperti majlis ceramah dan sebagainya, adakanlah pada waktu solat, agar dapat bersolat bersama dengan masyarakat, jika ceramah selepas isyak contohnya, pergilah solat isyak berjemaah bersama-sama masyarakat dan teruskanlah program... insya-allah, perjuangan akan diiringi keberkatan oleh Allah..

Oke. rasa macam cukup dulu untuk setakat ini. mata pun dah agak berat. Doakan saya!

Siiru 'ala barakatillah.

Hati-hati menjaga hati

BismikAllah aktub!



Hati manusia, jika diserahkan pada bukan yang selayaknya, pasti berlaku kerosakan. 

Al-Imam al-Ghazali menegaskan bahawa hati adalah seperti raja, sedangkan anggota lain sebagai tenteranya. Semua anggota-anggota ini akan taat dan patuh terhadap perintah rajanya ini, sesuai dengan maksud hadith Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam:  “Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging.  Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota.  Dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota, ketahuilah itulah hati.”  [ HR Bukhari dan Muslim ]

Saya kongsikan artikel dibawah ini yang diambil daripada web http://tarbawi.my. Moga bermanfaat. Let's read!


AI SHI TERU, YA ALLAH

Ai shi teru ialah perkataan Jepun yang bermaksud, "Aku cinta padamu...". Dalam bahasa Inggeris ia disebut, "I love you", dalam bahasa Arab, "Uhibbuka" (untuk lelaki) dan "Uhibbuki" (untuk wanita), manakala di dalam bahasa Mandarin ia disebut, "Wo ai ni". Dan Perancis pula disebut, "Je t'aime". Walaupun perkataan ini
berlainan sebutannya, tetapi hakikatnya ia tetap mempunyai satu maksud iaitu aku cinta padamu. Persoalannya cinta kepada siapa?

Perkataan 'Cinta' adalah perkataan yang begitu popular di mana sahaja kita berada, kerana ia bukan perkataan yang terkandung dalam kamus moden tetapi telah lama wujud sejak dijadikannya Adam dan Hawa. Begitupun cinta dalam makna yang sebenar bukanlah nafsu, tetapi kepercayaan. Orang yang percaya kepada sesuatu perkara dengan tindakan dan bukti tanpa memerlukan apa-apa syarat, itulah cinta. Oleh itu , apabila kita menyatakan cinta kita kepada Allah, maka kita akan dapat mengesan tanda-tandanya.

Imam Ibnu Qayyim Al Jauziyyah menyebut dalam kitabnya, 'Raudhatul Muhibbin wa Nuzhatil Mushtaqin' bahawa beberapa tanda jatuh cinta yang dialami oleh kebanyakan manusia adalah;

"Banyak mengingati orang yang dicintai, membicarakan tentangnya dan sentiasa menyebut namanya..."
"Tunduk dan mengikut segala perintah orang yang dicintai dan mendahulukan segala keperluannya..."
"Memerhati kata-kata orang yang dicintai dan mendengarkannya..."
"Mencintai segala perkara yang dicintai oleh sang kekasih..."

Sekiranya diteliti, perkara yang disebut oleh Ibnu Qayyim itu memang benar. Apabila kita jatuh cinta, pasti kita membuat perkara-perkara tersebut. Dan sekiranya ia tidak ditangani dengan bijak, natijahnya akan mengundang perkara yang negatif dan mencelakakan manusia. Seorang isteri jika suami berpaling kasih pada yang lain, maka hari-hari yang berlalu terasa mendung, sesekali memanahkan petir kekecewaan, air mata tumpah bagai lelehan lahar gunung berapi, sedih bercampur dendam. Begitulah hakikat orang yang bercinta. Tidak mahu diduakan oleh sesiapa.

Sebenarnya tidak banyak perbezaan yang berlaku daripada segi prinsip apabila kita jatuh cinta kepada Allah kerana matlamat asalnya juga cinta. Ringkasnya, apabila kita jatuh cinta kepada Allah, kita pasti mengingatiNya, tunduk dan patuh pada semua perintahNya, memerhati dan menuruti segala peraturanNya dan mencintai segala perkara yang dicintai oleh Allah. Itu juga disebut antara tanda-tanda cinta kepada Allah.

Bukti Cinta Kepada Allah

Perkataan cinta adalah perkataan yang menuntut kita melaksanakan perkara yang kita ucapkan. Adakah cukup sekadar kita melafaskan perkataan cinta tanpa menunjukkan bukti kita benar-benar memaksudkannya? Pastinya tidak. Apabila kita melafazkan cinta, maka ia perlu dilaksanakan dengan perbuatan.
Sekiranya cinta kepada Allah, maka ia perlu disertai dengan bukti. Lalu bagaimana bukti itu dapat diperlihatkan?
"Sentiasa mengingati Allah berbanding mengingati manusia..."

Pasangan yang jatuh cinta sentiasa mengingati pasangannya. Hatinya tenteram dan bertaman bunga apabila terfikir mengenai sang kekasih. Begitu juga cinta kepada Allah. Manusia yang jatuh cinta dengan Allah sentiasa mengingati dan merindui Allah. Di dalam Surah Ar Ra'du ayat 28, Allah menjamin kepada manusia yang mengingatinya, "Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang...".

Ayat ini memberikan kefahaman kepada kita bahawa bila hati kita ingat dan terhubung dengan Allah, hati kita akan menjad tenang. Namun, dalam ayat lain, Allah menceritakan bahawa, "Orang yang beriman itu apabila disebut nama Allah, gementar hati mereka..." (Al Anfaal:2).

Pada kedua-dua ayat itu berlaku apa yang dikatakan sebagai "zikrullah" - mengingati Allah. Walaupun kedua-duanya berhasil zikrullah, satu ayat sebut hati menjadi tenang dan satu ayat lagi sebut hati menjadi gementar. Bagaimana boleh menjadi begitu? Apakah bila kita dengan Allah, adakala hati menjadi tenang dan adakalanya hati menjadi gementar?Sebenarnya bukanlah ia bermaksud hati orang beriman itu berubah-ubah dengan Tuhan. Hati mereka sebenarnya mempunyai dua keadaan pada masa yang sama, iaitu berkeadaan tenang dan juga berkeadaan gementar.

Yang dikatakan tenang itu ialah tenang dengan dunia, yakni hati mereka itu tidak tergugat dengan ujian kesusahan seperti kemiskinan, sakit dan cercaan manusia. Malah semua itu menjadi hiburan apabila hati sudah kuat berhubung dengan Allah Taala serta memahami maksud ujian tersebut.

Yang dikatakan gementar pula, ialah bila hati berhubung dengan Tuhan, timbul rasa cemas dengan dosa yang dilakukan kepadaNya. Rasa gementar itu juga boleh berhasil dari rasa kagum dengan kehebatan Allah Taala, setelah menyaksikan kehebatanNya mencipta alam dan cakerawala, lalu apabila ayat dibacakan kepadanya tiba-tiba hati manusia menjadi gementar. Hal ini pasti berlaku kepada orang beriman yang hatinya itu sentiasa mencintai Allah. Ketakutan bagi orang bercinta ialah putus cinta atau cinta tidak berbalas dan tidak dipedulikan.

Firman Allah Taala (bermaksud), "Sesungguhnya orang-orang berhati-hati kerana takut akan (azab) Tuhan mereka, dan orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Tuhan mereka, dan orang-orang yang tidak mempersekutukan Tuhan mereka (dengan sesuatu apapun), Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka". (Al Mukminun:57-60).

Dari Aisyah R.A.h berkata, "Saya bertanya kepada Rasulullah tentang ayat ini (Al Mukminun:57-60). Apakah mereka orang-orang yang minum arak dan mencuri?

Baginda S.A.W menjawab, "Tidak wahai Humairah, tetapi mereka adalah orang-orang yang berpuasa, melaksanakan solat, bersedeqah, dan pada masa yang sama hati merasa takut amalan-amalan itu tidak diterima Allah. Mereka ini adalah orang-orang yang bersegera dalam amal kebaikan".

Maka jaminan Allah kepada hati hambaNya yang mengingatiNya, rasa tenang dan rasa gementar. Dan realitinya orang bercinta akan menurut segala kemahuan sang kekasih walaupun mereka serba-serbi kekurangan pada masa itu. Ini bermakna, bukti seseorang itu mencintai Allah ialah kita mengikuti segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

"Orang yang beriman itu kuat kecintaannya kepada Allah..." (Al Baqarah:165)

Maka, tanda orang bercinta kepada Allah ialah iman yang benar di dalam hati, iaitu mempercayaiNya dengan sesungguhnya tanpa lelah dan rungutan, tanpa ingkar dan pendustaan. Itulah cinta, cinta itu adalah percaya, bukannya nafsu.

Hakikatnya, mencintai Allah itu lebih mudah daripada mencintai manusia. Cinta manusia bersyarat, tetapi cinta Allah selamanya. Allah tidak mahukan harta kita kerana Allah pemberi rezeki. Bahkan kita yang dituntut supaya meminta sesuatu daripada Allah melalui doa. Oleh itu, tadahlah tangan kalian dan mengucapkan ai shi teru kepada Allah. Semoga dengan itu kita tergolong di kalangan hamba yang dicintai olehNya. Seorang pujangga memberitahu :

"Jika kamu berikan hatimu yang kudus kepada manusia, dia boleh melukai dan menghancurkannya. Tetapi sekiranya kamu berikan hatimu yang hancur luluh itu kepada Allah, Dia pasti akan memperbaikinya..."